Home | Contact Us  
 
 

Ahli Kapal Layar Sumbang Empat Emas
Oleh
Mohd Sani Ali, Berita Harian
dari Korat (Thailand)
15 December 2007
MATLAMAT yang disasarkan ialah antara 35 dengan 45 pingat emas.

Jumlah pingat emas yang berjaya dibawa pulang hingga hari ini sebelum tirai upacara penutup Sukan SEA Korat dilabuh ialah 43.

Ini menyusuli kejayaan para ahli kapal layar menyumbang empat pingat emas, enam perak dan tiga gangsa daripada 12 pingat emas yang dipertaruhkan - acara terakhir di perairan Pattaya petang semalam.

Para ahli kapal layar memenangi dari acara 'optimis' perempuan, 470 wanita, kategori 470 lelaki dan 420 lelaki.

Jumlah pingat yang dipungut oleh ahli kapal layar ini kurang jika dibandingkan tujuh pingat emas yang diperolehi di Sukan SEA Manila dua tahun lalu.

Bagaimanapun, presiden Persatuan Kapal Layar Singapura, Low Teo Ping yang juga Chef-de-Mission kontinjen negara ke Sukan SEA ini pastinya tidak kecewa dengan pencapaian anak buahnya di Pattaya.

'Para peserta muda kita menghadapi keadaan paling mencabar dalam Sukan SEA ini. Keadaan tiupan angin di sini paling sukar pernah dilalui dalam sebarang pertandingan yang pernah disertai mereka,' jelas Low yang berada bersama anak buahnya di Pattaya.

'Bagaimanapun, saya berasa gembira kerana mereka membuktikan mereka masih mampu bersaing dengan para peserta lain, walaupun ini adalah Sukan SEA pertama bagi sebahagian besar peserta yang rata-rata masih muda,' lanjut presiden itu lagi.

Acara kapal layar menawarkan 12 pingat emas dengan pasukan tuan rumah mengambil peluang daripada kelebihan berlatih di tempat yang sama jauh lebih awal dengan menyapu bersih enam pingat emas di Pattaya.

Dalam masa yang sama, buat kali pertama untuk sekian lama, Singapura berjaya memungut pingat perak dalam acara badminton perseorangan lelaki melalui Kendrick Lee dan pasangan beregu Hendra Wijaya dan Hendri Saputra.

Read more stories on the 24th SEA Games here.