Home | Contact Us  
 
 

Empat emas memang tepati sasaran
By Mohd Sani Ali, Berita Harian
17 December 2007
KEMAMPUAN skuad kapal layar negara memungut empat pingat emas dari perairan Pattaya di Sukan SEA Korat tidak bererti mereka gagal.

Sebaliknya jumlah tersebut menepati sasaran yang ditetapkan pengurus pasukan, Andrews Sanders, lama sebelum acara tersebut bermula.

Presiden Kapal Layar Singapura, Low Teo Ping, menekankan bahawa hampir sebahagian besar peserta di Sukan SEA kali ini terdiri daripada muka-muka baru, yang muda dan belum pernah diuji di sukan dwitahunan ini.

'Saya tidak menyifatkan ia sebagai kegagalan seperti yang dinyatakan sesetengah pihak yang tidak mengetahui latar belakang barisan peserta yang berada di sini,' kata Low.

'Malah, saya gembira kerana mereka berjaya memenuhi matlamat tersebut,' kata presiden Kapal Layar Singapura itu lagi.

Menurut Low, beliau juga gembira kerana semua peserta kapal layar pulang tanpa tangan kosong.

Kapal layar menyumbang empat pingat emas, enam perak dan tiga gangsa - sekali gus membayangkan kekuatan barisan pemain yang ditampilkan persatuan tersebut.

'Semua peserta senior yang tampil di Sukan Asia Doha tahun lalu sedang menjalani persiapan untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik Beijing yang akan berlangsung pada Ogos tahun depan,' tambahnya.

'Oleh itu, secara peribadi saya tidak kecewa dengan sumbangan empat pingat emas saja di Korat,' lanjutnya lagi.

Singapura memungut tujuh pingat emas di Sukan SEA Manila dua tahun lalu.

'Tetapi keadaan perairan dan angin di Korat adalah jauh lebih sukar. Saya tidak menjadikan itu sebagai alasan tetapi itulah keadaan yang terpaksa dilalui para peserta kami.

'Dalam beberapa keadaan, keputusan mengenai kemenangan para pelayar kami hanya diketahui selepas tamat pusingan akhir,' tambah Low.

Pingat emas diraih Dawn Liu Xiaodan, Elizabeth Tan (wanita 470 antarabangsa); Roy Tan, Chung Pei Ming (lelaki 470 antarabangsa); Justin Liu, Sherman Cheng (lelaki 420 antarabangsa) dan Rachel Lee Qing (optimist perempuan).

Perak disumbang oleh Low Wen Chun, Russel Chew (hobie 16); Russel Kan, Rachel Lee, Luke Tan, Daniella Hei, Darren Loong (pasukan optimist); Lo Jun Hao (super mod); Jovina Choo, Sara Tan (wanita 420 antarabangsa); Koh Seng Leong (laser antarabangsa); Siobhan Tam Shiu Wun (laser radial).

Pingat gangsa pula dipungut oleh Justin Wong, Wilbur Chan, Alvin Hong, Alvin Chong, Justin Tan (farr platu 25); Joshua Choo (mistral one design - belia); Russel Kan (optimist lelaki).

'Ini merupakan sebahagian daripada anggota kapal layar muda yang turut dipersiap bagi kejohanan-kejohanan antarabangsa dan Sukan SEA akan datang,' jelas Low lagi.

Low menyifatkan sukan ini sebagai pelantar untuk atlit-atlit muda melihat dan berasakan sendiri saingan yang bakal dihadapi apabila mereka tampil dalam kejohanan-kejohan yang lebi besar dan berprestij.

Read more stories on the 24th SEA Games here.