|
Seng Leong akan tumpu perhatian pada Olimpik Beijing
SINGAPURA berjaya menempah satu lagi tempat dalam acara kapal layar di Sukan Olimpik Beijing yang akan berlangsung pada Ogos ini.
Ini menyusuli kejayaan Koh Seng Leong melayakkan diri dalam acara laser yang berlangsung di Kejohanan Laser Dunia di Terrigal, Australia, semalam.
Kejayaan Seng Leong, pemenang pingat perak Sukan Asia Doha 2006 dalam acara Laser Radial, ini dikecap dalam percubaan keduanya selepas beliau gagal menempah tempat di Kejohanan Dunia yang berlangsung di Portugal pada Julai tahun lalu.
'Saya cukup gembira dan lega kerana kejohanan ini telah selesai. Kini saya boleh memberikan segenap tumpuan untuk membuat persiapan bagi menghadapi Sukan Olimpik,' jelas Seng Leong kepada para pegawai Kapal Layar Singapura.
Bagi memastikan beliau berada pada tahap persiapan yang maksimum dan terbaik, pemenang pingat perak Sukan SEA Korat itu perlu mengurangkan berat badannya sekurang-kurangnya 10 kilogram.
'Saya perlu menjalani program mengurangkan berat badan bagi menghadapi tiupan angin yang agak lebih perlahan dalam perlumbaan di Qingdao, tempat acara kapal layar Sukan Olimpik dijalankan,' tambahnya.
Sebelum berangkat ke Teriggal, Seng Leong berjaya menambah 10 kilogram bagi mengharungi tiupan angin yang lebih kencang.
Malah tiupan angin sederas antara 25 knot dengan 33 knot, ditambah oleh ombak besar setinggi 2.5 meter hingga 3.5 meter telah memaksa pihak penganjur memutuskan untuk menghentikan pertandingan.
Pada hari terakhir semalam, ahli kapal layar Singapura berusia 24 tahun itu menduduki tempat ke-23 di antara 157 peserta daripada 55 negara - hanya 25 negara sedang merebut 10 tempat terakhir dengan 29 tempat telah dipenuhi pada pusingan kelayakan tahap pertama Julai lalu.
Bagaimanapun, kedudukan tersebut cukup bagi Seng Leong menempatkan Singapura di tangga kelima diantara negara-negara yang belum lagi melayakkan diri.
Perjalanan Seng Leong ke Beijing boleh disifatkan sebagai cukup getir dan beliau terpaksa melalui pelbagai rintangan.
Pada 2005, beliau terlepas tampil di Sukan SEA Manila apabila terlibat dalam kemalangan motorsikal dan menyebabkan dua jari tangan kirinya hampir tidak berfungsi.
Berbekalkan keazaman dan kecekalan, Seng Leong kembali berlatih dan tampil di Sukan Asia Doha di mana beliau bangkit dari tempat keempat pada hari terakhir perlumbaan untuk menyambar pingat perak.
'Kejayaan ini membuktikan betapa cekalnya Seng Leong. Beliau menampilkan persembahan terbaik di Terrigal untuk memantapkan kedudukan bagi melayakkan diri ke Olimpik. Ia memerlukan ahli sukan yang bersemangat waja dan kematangan serta ketahanan mental yang tinggi untuk mengatasi rintangan ini,' ulas Ketua Pegawai Eksekutif Kapal Layar Singapura, Andrew Sanders.
Singapura juga berjaya melayakkan diri dalam kelas 470 lelaki dan sedang memburu satu lagi tempat dalam cara Laser Radial di mana pusingan kelayakan kedua akan berlangsung pada bulan depan di Auckland, New Zealand.
|