BUAT julung-julung kalinya dalam sejarah Sukan Olimpik, Singapura berjaya merebut
tiga tempat di pusingan akhir temasya sukan berprestij itu yang akan berlangsung di
Beijing pada Ogos ini.
Ini menyusuli kejayaan Elizabeth Yin Yue Ling, 16 tahun, melayakkan diri dalam acara
Laser Radial wanita di Kejohanan Laser Radial Dunia Wanita yang berlangsung di
Takapuna, New Zealand, dan berakhir kelmarin.
Terdapat 26 tempat untuk acara tersebut bagi menjadi rebutan dengan 19 tempat telah
pun dipenuhi dalam pusingan kelayakan pertama yang berlangsung pada Julai tahun
lalu dan satu tempat diberikan secara automatik kepada tuan rumah, China.
Seramai 116 peserta daripada 40 negara tampil dalam pusingan kelayakan kedua dan
terakhir ini, dengan 23 negara merebut tempat ke Olimpik.
Dua lagi tempat ke Beijing ialah dalam kelas 470 lelaki direbut oleh pasangan Xu Yuan
Zhen/Terence Koh dan Roy Tay/Chung Pei Ming yang melayakkan diri dalam
Kejohanan Kalap Layar Dunia ISAF 2007 di Cascais, Portugal.
Ini diikuti pula oleh kejayaan Koh Seng Leong dalam Kejohanan Laser Dunia pada
bulan lalu di Terrigal, Australia.
'Ini merupakan suatu sejarah buat kami. Saya cukup bangga kerana semua peserta
yang berjaya merebut tempat ke Sukan Olimpik Beijing merupakan anak watan,' ulas
presiden Kapal Layar Singapura, Low Teo Ping.
Bagaimanapun, kesemua peserta yang berjaya merebut tempat di Beijing perlu
meningkatkan tahap persembahan masing-masing jika ingin mengibarkan bendera
negara di sukan itu.
Ini kerana Kapal Layar Singapura akan terus mengadakan ujian ke atas para
pelayarnya di peringkat antarabangsa.
'Kami akan menghantar beberapa peserta dari skuad nasional untuk ke kejohanan
antarabangsa sebagai persiapan jangka panjang. Mereka akan bersaing antara satu
dengan lain dalam beberapa kejohanan mulai April hingga Jun,' jelas Teo Ping.
Bagi para peserta kelas 470 lelaki mereka akan menyertai kejohanan di Hyeres,
Perancis dari 19- 25 April, Medemblik, Belanda (21- 25 Mei) dan Riva Del Garda, Italy
dari 5-14 Jun.
Peserta laser lelaki akan bertarung di Riva Del Grada, Italy (7-13 April), Hyeres,
Perancis (19-25 April) dan Medemblik, Belanda dari 21-25 Mei.
Peserta laser wanita pula akan bersaing di Riva Del Garda, Italy (7-13 April), Hyeres,
Perancis (19-25 April) dan Medemblik, Belanda dari 21-25 Mei.