Home | Contact Us  
 
 

Persaingan sengit dalam pencalonan demi mencari yang terbaik ke Olimpik

BUAT kali pertama dalam sejarah kapal layar, empat peserta dicalonkan untuk mewakili
negara ke Sukan Olimpik Beijing yang akan berlangsung di Qingdao, China, pada Ogos
ini.

Menurut presiden Kapal Layar Singapura, Low Teo Ping, keempat-empat ahli kapal
layar negara itu akan menyertai tiga acara - kelas 470 lelaki, laser lelaki dan laser radial
wanita.

Pencalonan empat peserta itu berdasarkan pusingan kelayakan yang telah dilalui
semua peserta skuad nasional dan akan diajukan kepada Majlis Olimpik Kebangsaan
Singapura (SNOC) untuk dipertimbangkan.

'Kami tidak dapat memutuskan siapakah calon yang bakal mewakili negara ke sukan
berprestij itu sehingga saat-saat akhir pada minggu lepas,' demikian jelas Low yang
dipilih semula sebagai presiden Kapal Layar Singapura buat penggal ketiga semalam.
'Ini dengan sendirinya membayangkan betapa sengit dan tingginya taraf persaingan
yang terpaksa dilalui oleh setiap anggota skuad nasional bagi mewakili negara pada
masa akan datang,' tambahnya.

'Bagaimanapun, berdasarkan ujian yang telah dilalui oleh setiap peserta dan
kejohanan-kejohanan yang disertai oleh mereka, maka kami harus membuat keputusan
yang boleh disifatkan sebagai berat tetapi lega kerana kami dapat mencari yang terbaik
untuk ke Olimpik,' kata Low lagi.

Semua anggota skuad kapal layar nasional telah menyertai beberapa kejohanan
antarabangsa mulai April ini di Perancis, Italy dan Belanda.

'Oleh itu, pemilihan bukan sahaja berdasarkan prestasi dan keputusan ketika tampil di
kejohanan-kejohanan berkenaan, tetapi juga karisma individu dalam menghadapi
saingan pada peringkat antarabangsa itu,' tambahnya.

Gandingan Xu Yuan Zhen, 23 tahun; dan Terence Koh, 20 tahun; - pemenang pingat
perak Sukan Asia Doha bagi kelas 470 dan pemenang pingat emas Sukan SEA Manila
2005 bagi kelas 420 - dicalonkan untuk menyertai acara 470 lelaki.

Abang kepada Terence, Koh Seng Leong, 24 tahun; - pemenang pingat perak Sukan
Asia 2006 dan pingat perak Sukan SEA Korat 2007 - dicalonkan untuk acara laser.
Lo Man Yi, 20 tahun, pelajar Maktab Rendah Victoria dan pemenang pingat emas
Sukan SEA Manila 2005 - merupakan satu-satunya calon wanita daripada acara kapal
layar untuk tampil dalam acara laser radial.

Keempat-empat peserta berkenaan kini masih berada di luar negeri kerana menyertai
Kejohanan 'Kieler Woche regatta' di Kiel, Jerman.

'Ini juga turut membayangkan usaha kami untuk mempersiapkan mereka dengan taraf
kejohanan yang tinggi sebelum tampil dalam Sukan Olimpik nanti,' kata presiden Kapal
Layar Singapura itu.

Pihak SNOC akan mengumumkan barisan atlit negara yang bakal mewakili republik ke
Sukan Olimpik Beijing petang ini.