Home | Contact Us  
 
 

PASUKAN muda kapal layar negara berjaya mencatatkan kejayaan manis di Kejohanan Optimist Amerika Utara, di Curacao semalam.

Ini menyusuli kejayaan pelajar Sekolah Sukan Singapura, Rachel Lee, memenangi pingat perak di kejohanan yang berlangsung dari 28 Jun hingga 6 Julai di Netherlands Antilles itu.

Rachel mencatatkan pungutan mata yang sama dengan peserta Puerto Rico, Raul Rios, tetapi peserta dari Amerika Latin itu menang melalui kiraan semula.

Pingat perak yang dipungut oleh Rachel, 14 tahun, itu juga bererti beliau gagal mengulangi kejayaan yang dicatatkan oleh abangnya, Shaun Lee, yang memenangi pingat emas di kejohanan yang sama pada musim 2006.

Rachel adalah juara Optimist Asia Tenggara dan pemenang pingat gangsa Kejohanan Optimist Dunia di Cagliari, Italy, pada tahun lalu.

Turut berada antara 10 tempat utama ialah rakan sepasukan Rachel, Russel Kan, 15 tahun, yang menduduki tempat keempat; dan Luke Tan, 15 tahun, di tangga kelima; manakala Darren Choy, 14 tahun, menamatkan perlumbaan di tempat ke-20.

Seramai 204 peserta dari 245 negara menyertai kejohanan ini dan Singapura merupakan satu-satunya negara peserta luar Amerika yang tampil di perairan Amerika Utara itu.

Dalam acara berpasukan, Singapura memungut pingat gangsa dengan Puerto Rico muncul sebagai juara dan tuan rumah, Netherland Antilles, memenangi pingat perak - acara yang dipertandingkan sebanyak 16 pasukan.

Menurut jurucakap eksekutif Kapal Layar Singapura, kejohanan itu merupakan sebahagian daripada persiapan peserta negara bagi menghadapi Kejohanan Optimist Dunia di Turkey mulai 14 hingga 25 Julai ini.

'Semua peserta ini, bersama Andrew Tang, akan berada di Turkey pada minggu ini,' kata beliau.

Acara Optimist yang dikhaskan bagi peserta bawah 15 tahun tidak disertakan dalam Sukan Olimpik tetapi dipertandingkan dalam Sukan Asia dan Sukan SEA.